Bale kembali meledak ketika Real benam Arsenal


shadow
Penyerang Real Madrid, Gareth Balle merembat ke arah gawang Arsenal pada perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa, pagi tadi. – Foto AFP

WASHINGTON: Real Madrid menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 2-2 dengan penyerang kontroversi, Gareth Bale turut meletakkan namanya selaku penjaring pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa, pagi tadi.

Arsenal menurunkan skuad terkuat dengan membariskan kapten, Mesut Ozil dengan Real merehatkan Bale di bangku simpanan bagi memberi laluan kepada Eden Hazard untuk disenarai dalam kesebelasan utama bersama seorang lagi pemain baharu, Luka Jovic.

Perlawanan tampak seperti akan berakhir awal apabila pertahanan Real, Nacho diarah keluar padang seawal minit kelapan selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Pertahanan kebangsaan Sepanyol itu dilayangkan kad kuning pertama atas kekasarannya terhadap Sead Kolasinac sebelum sekali lagi dihukum selepas menepis cubaan Alexandre Lacazette menggunakan tangan di garisan gol.

Lacazette tidak bermasalah menyempurnakan penalti berkenaan sebelum penyerang Perancis itu mencipta umpanan kepada Pierre-Emerick Aubameyang untuk Arsenal menggandakan kelebihan 14 minit kemudian.

Pengadil begitupun kembali menjadikan perlawanan seimbang apabila turut melayangkan kad merah kepada pemain Arsenal, Sokratis Papastathopoulos pada minit ke-40 susulan kekasaran yang dilakukannya.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Bale dan Marco Asensio untuk Real kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-56 dan 59 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Arsenal sekali lagi mendahului apabila Reiss Nelson menyempurnakan sepakannya ketika Bale gagal tetapi kegagalan Granit Xhaka, Nacho Monreal dan Robbie Burton menyaksikan Real menang 3-2. – Reuters

Tinggalkan komen anda