FAS buka pusat latihan RM1.5 juta


shadow
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menandatangani plak Perasmian Fasiliti Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) di Padang Latihan SUK, Seksyen 2. – NSTP/Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Pembukaan Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, di sini, bukti komitmen badan induk itu untuk membawa bola sepak negeri ini ke tahap lebih tinggi.

Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkata, pusat latihan yang berkeluasan 37,161 meter persegi (400,000 kaki persegi) diharap dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia.

Tengku Amir Shah (kanan) bersama Amirudin Shari melawat ruang fasiliti selepas Perasmian Fasiliti Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) di Padang Latihan SUK, Seksyen 2. – NSTP/Roslin Mat Tahir

“FAS adalah satu entiti yang besar dalam arena bola sepak Malaysia.

“Walaupun ditubuhkan hampir 83 tahun lalu dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat usang di Kelana Jaya dan hanya mempunyai pusat latihan serba kekurangan,” katanya ketika merasmikan Pusat Latihan FAS itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Tengku Amir Shah berkata, perasmian fasiliti baharu itu adalah visi pertama beliau yang turut menyaksikan pusat pentadbiran FAS berpindah dari pejabat lama di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

“Kemudahan baharu dilengkapi padang latihan, gimnasium, kawasan rawatan fisioterapi, dan kompleks pejabat ini bukan sahaja diharapkan dapat memberi semangat dan inspirasi baharu kepada pemain, selain membolehkan pentadbiran persatuan dan kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya bersyukur impian FAS untuk mempunyai fasiliti yang lebih baik dan pusat pentadbiran persatuan yang lebih mampan berjaya direalisasikan.

“Terima kasih kepada Vizione Holdings Berhad, salah satu rakan strategik FAS yang menjadi penggerak utama dalam pembinaan fasiliti yang bernilai RM1.5 juta ini.

“Komitmen inilah yang bakal membuatkan pasukan lebih bersemangat untuk memburu kemenangan di atas padang. Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FAS,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kerajaan Selangor terutamanya Amirudin kerana sentiasa memberikan komitmen untuk memajukan bola sepak Selangor.

“Tanpa kerjasama daripada Yang Amat Berhormat, fasiliti serba moden ini pasti tidak akan berjaya dibina,” katanya.

Selepas perasmian, Tengku Amir Shah turut menonjolkan kelincahannya bermain bola sepak dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Raja Muda Selangor dan Menteri Besar Selangor yang menjadi simbolik perasmian pusat latihan terbabit.

Dalam perlawanan selama 40 minit itu, pasukan Raja Muda Selangor berjaya menumpaskan pasukan Menteri Besar 2-1.

Tinggalkan komen anda