MUSA jawab isu gaji esok


shadow
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahar. – NSTP/Rasul Azli Samad

MELAKA: Penyelesaian isu tunggakan gaji pemain Melaka United (MU) dijangka bakal diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari pada sidang media mesyuarat Exco kerajaan negeri, di Seri Negeri, Ayer Keroh esok.

Setiausaha Agung MUSA Farhan Ibrahim berkata, sepatutnya ia diumumkan Isnin lalu, tetapi oleh kerana banyak maklumat selain hal bola sepak hendak disampaikan termasuk berkaitan pentadbiran kerajaan negeri, presiden memilih untuk menundanya sehingga esok (Khamis).

Katanya, pengumuman berkenaan bakal merungkai persoalan isu tunggakan gaji pemain pasukan yang menjadi sebutan peminat bola sepak termasuk menerusi laporan sumber Berita Harian sebelum ini.

Menurutnya, dia memahami luahan peminat yang mahu isu berkenaan diselesaikan segera menjelang saingan Piala Malaysia musim ini.

“Begitu juga kami memahami  keresahan pemain yang menghadapi situasi sulit berkenaan tambahan mereka bakal beraksi di pentas Piala Malaysia,” kata Farhan.

“Selaku Setiausaha Agung saya sudah menghantar segala maklumat berkenaan dengan kewangan persatuan untuk rujukan presiden.” 

Berita Harian Sabtu lalu melaporkan kantung pasukan Liga Super dan Liga Perdana terisi apabila memperoleh bayaran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, masih ada yang berduka dan terbaharu pemain MU dikatakan belum menerima apa-apa bayaran gaji sejak Aidifitri lalu.

Menurut sumber, setakat ini pemain dimaklumkan pihak pengurusan sedang mencari dana namun belum menerima sebarang bayaran.

“Kini tunggakan hampir memasuki tiga bulan dan kali terakhir pemain terima gaji adalah pada Ramadan lalu,” kata sumber terbabit.

BH Sukan sebelum ini melaporkan MFL akhirnya menamatkan penantian pasukan bertanding mengenai agihan hak penyiaran selepas badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu sudah membuat pembayaran bagi fasa pertama.


Tinggalkan komen anda