682 atlet sudah didaftar sertai Sukan SEA Filipina


shadow

KUALA LUMPUR: Seramai 682 atlet daripada semua kategori sudah didaftarkan untuk berentap pada temasya Sukan SEA Filipina dan jumlah itu akan terus bertambah selepas tarikh akhir pendaftaran ditutup 2 September ini.

Daripada jumlah itu, separuh daripadanya adalah kategori A yang membabitkan 339 atlet termasuk 192 lelaki.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata jumlah itu melebihi separuh daripada angka ditetapkan untuk memastikan kontijen terbesar Malaysia di Sukan SEA luar daripada Kuala Lumpur.

“Ia babitkan 58 peratus untuk lelaki dan 42 peratus untuk atlet wanita. Selepas 2 September, kita akan beri senarai akhir (jumlah sebenar). Sudah lebih daripada separuh dan kita pun sudah berada di hujung (semakin hampir dengan Sukan SEA). Persiapan pun berjalan baik.

“Sukan seperti bola sepak wanita hanya akan ditetapkan berada dalam kategori A atau pun tidak hanya akan ditentukan selepas melihat prestasi mereka di Kejuaraan AFF nanti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini, hari ini.

Setakat ini, penyertaan terbesar Malaysia di Sukan SEA adalah pada edisi Korat, Thailand, 12 tahun lalu yang menyaksikan kontinjen negara muncul naib juara keseluruhan dengan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa di belakang tuan rumah.

Temasya dwitahunan edisi ke-30 kali ini dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini dan antara lokasi pertandingan adalah di Manila, Clark dan Subic serta beberapa kluster kecil venue lain.

Dalam masa sama, Mohamad Norza bertegas pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana persatuan sukan tempatan jika gagal mendaftarkan atlet masing-masing selewat-lewatnya 2 September ini.

“Kita akan kan pastikan ia dapat diselesaikan sebelum 2 September. Selepas itu, kita tidak akan layan,” katanya.

Tinggalkan komen anda