Arsenal lepas Iwobi, bawa masuk David Luiz



Iwobi sah berpindah dari Arsenal ke Everton

Penyerang Nigeria, Alex Iwobi menyertai Everton dengan perjanjian lima tahun sehingga Jun 2024, umum kelab itu, pagi tadi.

Tiada bayaran perpindahan dinyatakan tetapi media di Britain melaporkan pemain itu bernilai 28 juta pound (RM142.34 juta), meningkat kepada 34 juta pound (RM172.85 juta).

Pemain berumur 23 tahun itu yang sudah 36 kali mewakili pasukan kebangsaan negaranya serta membawa pasukan melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika pada tahun ini, adalah pemain ketujuh yang ditandatangani Everton dalam jendela perpindahan kali ini.

Arsenal bawa masuk Luiz dari Chelsea   

Arsenal sudah mendapatkan pertahanan Brazil, David Luiz dari lawannya Chelsea, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Maklumat terperinci bagaimanapun tidak didedahkan tetapi media Britain melaporkan bayaran perpindahan lebih 8 juta pound (RM40.67 juta) dan pemain berumur 32 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun.

Luiz adalah enam pemain baru yang dibeli Arsenal.

DENNIS Praet. – Foto Twitter Leicester City

Leicester ikat Praet

Leicester City mendapatkan pemain tengah Belgium, Dennis Praet dengan perjanjian lima tahun dari Sampdoria, membabitkan yuran perpindahan dilaporkan media Britain sekitar 18 juta pound (RM91.51 juta).

Pemain berumur 25 tahun adalah pemain keempat yang diperoleh Leicester selepas mendapatkan pertahanan James Justin, pemain sayap Ayoze Perez dari Newcastle United dan pemain tengah Youri Tielemans dari AS Monaco.

Terdahulu, pemain tengah Everton, Muhamad Besic menyertai Shaffield United secara pinjaman bagi musim yang baru.

RYAN Sessegnon dan Giovani Lo Celso. – Foto Twitter Tottenham Hotspur

Tottenham tandatangani Sessegnon, Lo Celso

Tottenham melengkapkan perpindahan pemain berumur 19 tahun, Ryan Sessegnon dari Fulham dengan perjanjian sehingga 2025, sejurus selepas mendapatkan pemain tengah Argentina, Giovani Lo Celso dari pasukan Sepanyol, Real Betis.

DRINKWATER. – Foto Twitter Burnley FC

Burnley pinjam Drinkwater dari Chelsea

Burnley mendapatkan pemain tengah Danny Drinkwater secara pinjaman dari Chelsea sehingga 6 Januari ini.

Drinkwater sertai Leicester City pada 2012 dari Manchester United dan memenangi Liga Perdana pada 2016. – AGENSI

Tinggalkan komen anda