Barcelona giat rundingan halang Neymar sertai Real


shadow

PARIS: Usaha delegasi Barcelona ke Paris semalam untuk menghalang Real Madrid daripada mendapatkan tanda tangan Neymar dilihat bakal berdepan kegagalan apabila Paris Saint-Germain (PSG) menolak tawaran awal £74 juta (RM384 juta) bersama Philippe Coutinho.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu dijangka bertemu bos PSG, Nasser Al-Khelaifi di Liverpool esok sempena mesyuarat Kelab Eropah bagi membincangkan hal itu semula.

Kelab Catatan itu terpaksa meningkatkan usaha berkenaan minggu ini selepas ejen Neymar, Pini Zahavi mengadakan rundingan dengan Real Madrid berhubung perpindahan pemain itu.

Bartomeu semalam menghantar Pengarah Sukan Barca, Eric Abidal bersama penolongnya, Javier Bordas dan Pengarah Kelab (Brazil), Andre Cury, untuk bertemu Pengarah Kesukanan PSG, Leonardo dan bos nombor duanya, Angelo Castellazzi.

Namun difahamkan, mesyuarat itu tidak mencapai kata sepakat apabila tawaran wang berkenaan bersama Coutinho dikemukakan Barcelona ditolak PSG.

Barcelona dalam pada itu menamakan seorang lagi iaitu Ivan Rakitic sebagai tambahan.

Tapi cadangan itu juga gagal memuaskan hati PSG, sebaliknya mereka mahukan semula bayaran £206 juta (RM1.1 bilion) yang dilaburkan ke atas Neymar. 

PSG mungkin menerima tawaran jika dibayar sebanyak £93 juta (RM484 juta) bersama Coutinho, Rakitic dan Nelson Semedo.

Malangnya, Barcelona enggan melepaskan Semedo, menjadikan Rakitic pilihan untuk dilepaskan walaupun pemain itu sudah menyatakan enggan keluar tatkala sudah membeli hartanah di tepi pantai dekat Barcelona.

Dalam pada itu, masa depan Neymar di Paris makin rumit apabila penyokong PSG mula melaungkan lagu kebencian ke atasnya sambil mengantung sepanduk menggesa pemain Brazil itu meninggalkan PSG.

Usaha pegawai Barca menemui Neymar juga gagal apabila pemain itu dikatakan sedang bercuti sehari di selatan Sepanyol. – Agensi

Tinggalkan komen anda