Bekas Bos DFB didakwa seleweng dana Piala Dunia


shadow

BERLIN: Empat bekas pegawai kanan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) berdepan perbicaraan di mahkamah Frankfurt atas dakwaan mengelak cukai yang ada kaitan dengan skandal pembelian undi Piala Dunia 2006.

Mahkamah berkenaan menetapkan bekas Presiden DFB, Wolfsgang Niersbach dan Theo Zwanziger, bersama Setiausaha Agungnya, Horst R. Schmidt, hadir atas tuduhan mengelak dan bersubahat mengelak cukai yang dianggarkan sejumlah 6.7 juta euro (RM32 juta).

Seorang lagi pegawai iaitu warga Switzerland, Urs Linsi, yang juga bekas Setiausaha Agung FIFA, turut dibicarakan bersama rakan sejawatan dari Jerman itu atas dakwaan sama.

Kejayaan Jerman menjadi tuan rumah Piala Dunia 2006 dibayangi skandal pembelian undi yang kerap dirujuk sebagai ‘Das Sommermaerchen’ dan kini menjadi igauan buruk sejurus timbul dakwaan pada 2015 yang mendakwa mereka terbabit dalam skandal membeli undi ke atas perwakilan FIFA untuk membolehkan Jerman mendapat hak sebagai tuan rumah kejohanan itu.

Dalam perbicaraan semalam, semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Tiga minggu lalu, Pendakwa Raya Switzerland turut mengenakan tuduhan sama ke atas keempat-empat lelaki berkenaan dalam satu perbicaraan berasingan di sebuah mahkamah di negara itu.

Legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer, 73, yang menpengerusikan Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2006, juga berdepan tuduhan sama di Switzerland, namun perbicaraan ke atasnya ditangguhkan atas faktor kesihatannya.

Perbicaraan semalam membuka lembaran baru ke atas skandal yang mula didedahkan oleh majalah Der Spiegel pada Oktober 2015.

Sumber wang berkenaan dilaporkan disalurkan oleh mendiang Robert Louis-Dreyfus, ketua syarikat pengeluar pakaian sukan Adidas, atas arahan Beckenbauer, yang ketika itu mengetuai jawatankuasa bidaan Jerman.

Menurut Der Spiegel, DFB meminjam sejumlah wang tunai bagi tujuan menyogok perwakilan supaya mengundi Jerman sebagai tuan rumah.

Bagaimanapun, wang yang diterima itu didakwa dipindahkan ke akaun FIFA bagi tujuan majlis perasmian Piala Dunia yang sebenarnya tidak pernah dilangsungkan.

Selepas skandal itu terdedah, pegawai jabatan hasil dan cukai Frankfurt menemui bukti terdapat keraguan berhubung jumlah 6.7 juta euro (RM32 juta) dalam akaun DFB dan mendenda persatuan itu 19.2 juta euro (RM86.4 juta).

Pihak DFB bagaimanapun mempertikaikan penemuan bukti berkenaan. – AFP

Tinggalkan komen anda