Benteng rapuh tanpa Alisson?


shadow

SOUTHAMPTON: Penjaga gol simpanan Liverpool Adrian menikmati penampilan penuh pertama ketika memenangi Piala Super UEFA di Istanbul, tetapi Southampton mengharapkan aksi cemerlangnya ketika penentuan penalti menentang Chelsea hanyalah topeng kepada masalah lebih besar menjelang pertemuan di St Mary’s esok.

Benteng Liverpool yang tidak dibolosi dalam 20 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu tampak longgar dalam dua perlawanan pertama musim ini.

Pendatang baharu Liga Perdana Norwich mempunyai beberapa peluang pada aksi pembukaan di Anfield, tetapi hanya berjaya menyempurnakan satu peluang dan dihukum oleh anak buah Jurgen Klopp dengan kekalahan 4-1.

Chelsea juga berjaya menembusi benteng Liverpool dengan mudah untuk mengikat anak buah Klopp 2-2 di Turki sebelum Adrian mencuri tumpuan dengan menyelamatkan sepakan Tammy Abraham.

Penjaga gol 32 tahun dari Sepanyol itu memulakan perlawanan buat pertama kali untuk juara Eropah berkenaan, hanya sembilan hari selepas ditandatangani Liverpool sebagai sokongan kepada Alisson Becker.

Penjaga gol utama dari Brazil itu mengutip kecederaan di babak pertama bertemu Norwich, masalah yang mungkin mengambil masa sehingga lapan minggu dan sepanjang tempoh itu akan membuka laluan buat Adrian membuktikan kemampuannya.

“Jelas sekali ia musim panas yang sukar, yang berbeza kerana saya tidak tahu bila saya akan memulakan perlawanan bersama pasukan atau pasukan lain, liga Sepanyol atau tidak,” kata Adrian yang dua minggu lalu masih berlatih di Seville.

“Saya tidak tahu ketika itu yang Liverpool akan datang kepada saya dan berkata ‘Adrian, datang bersama kami kerana (Simon) Mignolet  mendapat tawaran dan mereka melepaskannya.

“Akhirnya ia keputusan yang tepat untuk datang ke sini, meraih gelaran itu, yang pertama (pada musim ini) untuk Liverpool.”

Namun timbul persoalan sejauh mana Adrian mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Alisson, yang menjadi tonggak kepada kemenangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara dan persaingan Liga Perdana musim lalu. – AFP

Tinggalkan komen anda