Bola sepak negara ada masa depan di peringkat antarabangsa


shadow

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata prestasi skuad muda kebangsaan pada Kejuaraan Bawah 18 (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Ho Chi Minh, Vietnam menggambarkan bola sepak negara mempunyai sinar untuk kembali bangkit di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berharap pemain dan semua pihak terbabit tidak mudah leka dengan pencapaian kali ini sebaliknya perancangan serta kerja keras perlu diteruskan bagi memastikan potensi `ubi muda’ negara dapat diserlahkan di pentas lebih tinggi.

“Mereka sudah memberikan yang terbaik malah di peringkat kumpulan juga mereka kalahkan Australia. Cara mereka bermain, semangat dan potensi yang ditunjukkan menyerlahkan bahawa ada sinar bagi bola sepak negara.

“Kita doakan mereka akan terus kerja bekeras supaya pada masa akan datang kita dapat tingkatkan usaha murni ini,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan skuad B-18 negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Sepanjang kempen di Ho Chi Minh, sekali pun gagal mempertahankan kejuaraan, skuad negara yang dikendalikan Brad Maloney pantas mencuri perhatian peminat tempatan.

Sekali pun membuka saingan dengan kekalahan 1-0 kepada tuan rumah, Malaysia bangkit meraih kemenangan 3-1 ke atas Singapura, Kemboja (3-0) dan menewaskan Australia 3-0 sebelum kalah 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Hasrat untuk melihat kemenangan kedua ke atas Australia di pentas final tidak tercapai apabila tewas 0-1.

Tinggalkan komen anda