Coutinho sah sertai Bayern secara pinjaman


shadow

MADRID: Bintang Barcelona, Philippe Coutinho sah menyertai Bayern Munich secara pinjaman setahun dengan nilai 8.5 juta euro (RM39 juta).

Mengumumkan perkara itu, Barcelona turut menyatakan kelab Jerman berkenaan turut diberi pilihan untuk membeli pemain Brazil terbabit.

“Perjanjian turut menyediakan pilihan membeli buat Bayern dengan yuran sebanyak 120 juta euro (RM556 juta),” kata kenyataan Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Barcelona dari Liverpool pada Januari tahun lalu dengan nilai permulaan sebanyak 120 juta euro (RM556 juta) dalam perjanjian termasuk potensi 40 juta euro (RM185 juta) sebagai tambahan.

Namun, perancang tengah itu gagal memberikan sumbangan yang diharapkan Barcelona walaupun kehadirannya mendapat sambutan hangat di Camp Nou.

“Bagi saya, perpindahan ini bermakna cabaran baharu di negara baru bersama salah satu kelab terbaik di Eropah,” kata Coutinho menerusi laman sesawang Bayern.

“Saya sangat berharap dapat memberikan sumbangan terbaik. Sama seperti Bayern, saya mempunyai cita-cita besar dan yakin dapat mencapainya bersama rakan sepasukan yang baharu.”

Kelab Jerman itu berharap kehadiran Coutinho dapat memperkuatkan lagi bahagian serangan berikutan pelepasan pemain veteran Arjen Robben dan Franck Ribery pada akhir musim lalu.

“Berdasarkan kreativiti dan kemahirannya yang luar biasa, Philippe adalah pemain yang mampu menguatkan serangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge. – AFP

Tinggalkan komen anda