‘Coutinho tingkat kekuatan Bayern’


shadow

MUNICH: Robert Lewandowski percaya Bayern Munich memiliki kelebihan berbanding seteru Borussia Dortmund dalam perebutan kejuaraan Bundesliga dengan kehadiran pemain berkualiti seperti Philippe Coutinho.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak berselindung apabila menyuarakan ketidakpuasan hatinya susulan kegagalan Bayern memperkuatkan jentera serangan susulan persaraan Arjen Robben dan Franck Ribery.

Dortmund pula mengharungi jendela perpindahan yang sibuk apabila menandatangani beberapa pemain seperti  Thorgan Hazard, Julian Brandt dan Nico Schulz selain membawa pulang Mats Hummels ke kelab itu.

Lewandowski jelas tidak berpuas hati dengan gerak-geri pengurusan Bayern tetapi selepas ketibaan Coutinho dan Ivan Perisic, dia kini percaya pasukannya lebih berkualiti berbanding pencabar utamanya itu.

“Banyak yang Dortmund lakukan (perpindahan musim panas), mereka mempunyai skuad yang besar. Tetapi pada akhirnya ia adalah mengenai kualiti, bukan kuantiti,” katanya. “Dari pandangan saya, jelas kepada saya yang kami mempunyai pemain yang lebih berkualiti.”

Pemain kebangsaan Poland itu juga teruja dengan persembahan yang ditampilkan Coutinho setakat ini sambil melabel ketibaannya dari Barcelona sebagai ‘sesuatu yang tidak dijangka.’

“Penyudah (Coutinho) gila, dia boleh menjadi penentu kepada perlawanan yang penting, terutama di Liga Juara-Juara. Dia boleh memberikan kami sesuatu yang istimewa. Ia menjadikan kami lebih sukar dijangka, yang membuatkan kami lebih merbahaya.”

Selepas sekadar seri pada perlawanan pembukaan Bundesliga melawan Hertha Berlin, Bayern kemudian menewaskan Schalke 3-0 dengan kelab itu dijadual bertemu Mainz pada Sabtu ini. – Agensi

Tinggalkan komen anda