FAM bidas cara PFAM dedah isu gaji tertunggak


shadow

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana mengeluarkan kenyataan umum berhubung isu tunggakan gaji pemain yang membelenggu bola sepak tempatan.

Selaku badan induk bola sepak negara, ia juga menggesa persatuan terbabit supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini kerana ia boleh disalah tafsir dan pada masa sama tidak membantu menyelesaikan masalah.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, mendedahkan beberapa pasukan Liga Malaysia yang masih bertanding selain sudah ditutup masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain keseluruhannya mencecah sebanyak RM6.4 juta.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika mengulas kenyataan umum berkenaan berkata tidak semua pasukan yang disenaraikan dalam kenyataan PFAM itu melepaskan tanggungjawab terhadap gaji pemain.

“PFAM tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bersifat umum dan menyeluruh seperti itu kerana ia sama sekali satu kenyataan tidak bertanggungjawab dan tidak adil dalam menjelaskan keadaan sebenar isu tunggakan gaji.

“Bukan semua pasukan yang dinyatakan itu tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji. Kenyataan secara umum itu sesuatu yang tidak profesional dan sudah tentu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

“Ia jelas bertentangan dengan segala usaha ditunjukkan oleh sesetengah pasukan dalam menyelesaikan tunggakan gaji secara baik dengan pemain, mahu pun menerusi PFAM sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Stuart berkata, sekali pun FAM sentiasa menyanjung usaha PFAM membela nasib ahlinya, namun bertegas untuk menilai semula kerjasama dengan pihak berkenaan sekiranya usaha berterusan daripada pasukan, persatuan negeri dan FAM tidak dianggap positif oleh mereka.

“PFAM sepatutnya menghubungi FAM untuk kami jadi perantara atau membantu PFAM dalam berkomunikasi dengan pasukan bagi memastikan semua permasalahan ini dapat diuruskan dengan baik dan profesional.

“Kebanyakan hutang dalam angka RM6.4 juta itu juga datangnya daripada tunggakan gaji oleh pasukan yang sudah ditutup dan menurut FIFA, kes berkenaan dianggap tertangguh sehingga pasukan itu dihidupkan semula.

“Sebagai antara pemegang taruh bola sepak negara, PFAM juga tidak sepatutnya mempertikaikan Pelan Hala Tuju Persatuan FAM atau F:30 dan Next50 kerana mereka sebenarnya yang perlu bekerjasama untuk menjayakannya.

“Di sini, nampak seolah-olah mereka seperti ada agenda tersembunyi,” katanya.

Tinggalkan komen anda