FAM mohon maaf


shadow

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pihaknya tidak berniat untuk ‘mengambil kredit’ terhadap persembahan cemerlang skuad Bawah 15 tahun negara (B-15) khususnya selepas membenam Australia 3-0 pada aksi ketiga Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi, semalam.

Jelas Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, beberapa kejayaan yang ditempa skuad muda negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang disertai kebelakangan ini menunjukkan betapa negara memiliki barisan pelapis yang baik sekali gus membuktikan keberkesanan program yang dijalankan.

“Kejayaan dan prestasi baik skuad B-15 ketika ini menunjukkan yang mereka berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia itu.

“Untuk makluman semua, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) adalah projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.

“Kami gembira melihat kerjasama ini mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar,” kata Stuart menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, FAM menerusi satu kenyataan malam semalam menjelaskan beberapa pencapaian yang diraih skuad remaja ketika ini adalah hasil segera daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang baru saja dilancarkan badan induk itu pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun, majoriti penyokong tidak bersetuju dengan kenyataan terbabit apabila mereka menegaskan kredit perlu diberikan kepada NFDP di bawah kendalian Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebelum kenyataan terbabit dipadam.

Sebagai rekod, skuad remaja negara meraih beberapa kejayaan bermula Kejohanan Jockey Club Antarabangsa Remaja 2019 di Hong Kong, April lalu disusuli juara Kejohanan Bolasepak Remaja Antarabangsa Haikou di China, bulan lalu.

Malah, anak buah P Maniam turut memperagakan aksi memberangsangkan pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 ketika ini yang menyaksikan mereka cemerlang meraih tiga kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi sebarang gol.

Dalam masa sama, Stuart turut melontarkan penghargaan ke atas kerjasama yang diberikan semua pihak yang bekerja keras dalam usaha memantapkan lagi pembangunan bola sepak di akar umbi.

“FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan AMD  kerana tanpa sokongan dan usaha mereka selama ini, pemain skuad B-15 kebangsaan tidak akan sampai ke tahap terbaik ini bagi meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan itu,” katanya.

Tinggalkan komen anda