Federer tersungkur di Cincinnati


shadow

CINCINNATI: Roger Federer tumpas pada pusingan ketiga apabila dikejutkan dengan kekalahan 6-3, 6-4 bertemu Andrey Rublev buat kali pertama di Masters Cincinnati ATP.

Juara tujuh kali itu yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-38 minggu lalu, gagal memberi persembahan memberangsangkan pada perlawanan keduanya sejak tewas pada final Wimbledon kepada Novak Djokovic.

“Terdahulu, saya bergelut dengan servis saya. Break pada servis pertama dan seterusnya itulah yang terjadi,” kata Federer. “Perkara itu seakan mempengaruhi sedikit permainan selepas itu.

“Tetapi keseluruhannya adalah sukar, dia bermain sangat baik. Saya pula mungkin bergelut terutama sekali ketika serangan. Saya tak rasa saya bermain teruk tetapi kadang kala kita tak boleh mengharapkan servis itu dapat melakukan segala-galanya.”

Rublev, pemain Russia berumur 21 tahun daripada pusingan kelayakan yang baru mengalami kecederaam musim lalu, juga turut terkejut dengan kemenangannya menewaskan juara Grand Slam 20 kali itu.

“Ia adalah perasaan yang mengagumkan apabila bermain dengan seorang legenda seperti Roger,” katanya. “Sekurang-kurangnya 99 peratus penonton menyokongnya.

“Hari ini saya cuma lakukan yang terbaik. Saya beritahu diri sendiri saya perlu bermain setiap mata hingga ke akhirnya. Biar apa pun keadaan, saya terus berjuang.”

Federer yang diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga, tewas kepada pemain nombor 70 dunia dalam tempoh sejam, kekalahan ke-10 buatnya di sini selepas merakam 47 kemenangan. – AFP

Tinggalkan komen anda