Jepun amuk anak buah Roelant Olthmans


shadow

KUALA LUMPUR: Skuad hoki Jepun membelasah pasukan lelaki negara 6-1 dalam aksi penentuan tempat ke-3/4 Kejohanan Ujian ‘Tokyo Ready Steady’ Sukan Olimpik di Tokyo, hari ini.

Kekalahan itu yang terbesar dialami skuad negara dalam sejarah pertemuan melawan Jepun dalam tempoh 46 tahun.

Begitupun, anak buah Roelant Olthmans berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-30 hasil gol padang Muhammad Shahril Saabah.

Tersentak dengan gol itu, Jepun meningkatkan asakkan dua minit kemudian untuk gol penyamaan hasil sentuhan Hirotaka Zendana pada minit ke-32 sebelum mendahului 2-1 susulan gol sudut penalti minit ke-39 oleh Yoshiki Kirishita.

Jepun menyumbat tiga gol lagi dalam tempoh tiga minit menerusi Kenta Tanaka, Kota Watanabe dan Kirishita masing-masing minit ke-43, 44 dan 45.

Jepun melengkapkan kejayaan apabila Zendana menyumbat pukulan sudut penalti minit ke-56.

Dalam pada itu, India yang membelasah Malaysia 6-0 kelmarin akan bertemu New Zealand dalam perlawanan akhir hari ini.

Hoki padang adalah salah satu daripada 56 acara percubaan yang diadakan di sekitar Tokyo sebagai persediaan Jepun memastikan lokasi dan prosedur operasi dalam keadaan terbaik, sebelum berlangsungnya Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum acara itu, anak buah Olthmans menjalani sembilan perlawanan di Jelajah Eropah sebagai sebahagian daripada pelan persiapan menghadapi Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Oktober hingga November ini.

Tinggalkan komen anda