Lukaku meledak pada penampilan sulung


shadow

MILAN: Penyerang Belgium, Romelu Lukaku menjaringkan gol pada penampilan sulung ketika jurulatih baharu Inter Milan, Antonio Conte memulakan tugas dengan sempurna menerusi kemenangan 4-0 mengatasi Lecce awal pagi tadi.

Lukaku yang dibeli dengan harga 65 juta euro (RM302 juta) pada musim panas ini dari Manchester United – menjaringkan gol ketiga selepas sejam saingan di San Siro.

Kesilapan penjaga gol Lecce, Gabriel yang menolak bola ke laluan Lautaro Martinez memberikan ruang buat Lukaku menyudahkannya.

Pemain berusia 26 tahun itu menunduk kepada penonton Inter antara 65,000 yang hadir pada perlawanan itu.

Pemain Croatia, Marcelo Brozovic membuka jaringan selepas 21 minit menerusi sepakan kencang untuk jaringan ke-15 sepanjang enam musim di Inter.

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez (kiri) dihalang pertahanan Lecce, Marco Calderoni pada aksi Serie A, awal pagi tadi. – Foto AFP

Seorang lagi pemain baharu, Stefano Sensi, yang dipinjam dari Sassuolo, juga menemui sasaran tiga minit kemudian.

Lecce bermain 15 minit terakhir dengan 10 pemain apabila pemain Brazil, Diego Farias dilayangkan kad merah kerana mengasari bekas rakan sepasuakn di Cagliari, Nicolo Barella.

Antonio Candreva meledak jaringan keempat pada minit ke-84 seterusnya memberikan Inter laluan untuk mengekori juara lapan kali Juventus dan naib juara, Napoli yang masing-masing menang perlawanan pembukaan hujung minggu lalu. – AFP

Tinggalkan komen anda