Malaysia B-15 juara kumpulan


shadow

KUALA LUMPUR: Skuad muda negara menamatkan saingan Kumpulan B Kejuaraan Bawah 15 tahun (B-15) AFF 2019 di Chonburi dengan keputusan seri 1-1 menentang tuan rumah Thailand hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian P Maniam muncul juara kumpulan selepas mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua seri.

Selaku juara kumpulan, skuad negara akan berdepan naib juara Kumpulan A, Vietnam di peringkat separuh akhir, esok.

Thailand yang turut mengumpul 11 mata dan berada di kedudukan kedua kumpulan menempah pertemuan dengan Indonesia yang menjuarai Kumpulan A.

Pada aksi yang berlangsung di Institut Pendidikan Jasmani, Chonburi itu, Thailand terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Pornsawan Sankla pada minit ke-18.

Skuad negara terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk mengikat Thailand hasil jaringan sendiri pemain tuan rumah Sittha Boonlha.

Untuk rekod, Harimau Muda membuka tirai kejohanan dengan langkah kanan selepas membelasah Brunei 8-0 pada 28 Julai lalu sebelum menundukkan Kemboja 2-0, dua hari kemudian.

Kejutan terbesar dilakar skuad negara, Khamis lalu selepas menundukkan Australia 3-0 sebelum diikat 1-1 oleh Laos pada perlawanan keempat.

Tinggalkan komen anda