Memanah compound raih empat emas di Taiwan


shadow

KUALA LUMPUR: Skuad memanah negara mendapat tonik terbaik menjelang Sukan SEA 2019 Filipina, November ini apabila membidik empat daripada lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara compound pada pusingan kedua Piala Asia 2019, di Taiwan semalam.

Pemanah pilihan utama, Mohd Juwaidi Mazuki menjadi wira pasukan negara apabila membantu merangkul tiga emas dalam acara individu, pasukan campuran serta berpasukan lelaki manakala emas keempat daripada acara berpasukan wanita.

Pada final acara individu, Mohd Juwaidi menewaskan rakan sepasukan M Khambeswaran 140-139. Khambeswaran, pemanah Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, meraih pingat perak.

“Saya amat gembira dengan pencapaian ini. Saya sentiasa mendapat pingat perak atau gangsa dalam kedua-dua acara individu dan berpasukan sejak bersaing pada Piala Asia mulai tahun 2014.

“Ini adalah pengalaman baik dan membantu meningkatkan moral pasukan menjelang Sukan SEA 2019 Filipina,” kata Juwaidi seperti dipetik dalam laman web kejohananhttps://worldarchery.org.

Terdahulu, pemanah berusia 29 tahun itu berganding dengan Iman Aisyah Norazam untuk menewaskan gandingan tuan rumah, Hong Yee Chen-Li Yun Wang 150-149 bagi merangkul emas acara berpasukan campuran.

Mohd Juwaidi kemudian membantu skuad negara merangkul emas dalam acara berpasukan lelaki selepas menewaskan Thailand 223-219.

Malaysia merangkul pingat gangsa dalam acara individu wanita menerusi Nurul Syazhera Mohd Asmi yang mengalahkan rakan sepasukan Nur Aina Yasmine Halim pada saingan shoot-off selepas terikat 135-135 dalam penentuan tempat ketiga.

Trio negara, Nur Syazhera, Nur Aina Yasmine dan Iman Aisyah merangkul emas acara berpasukan wanita selepas menewaskan Thailand dalam aksi shoot-off selepas terikat 127-127.

Hari ini, skuad recurve negara akan memburu emas dalam empat acara.

Selain Malaysia, kejohanan terbabit turut disertai oleh pasukan dari Australia,  Hong Kong, China, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Thailan dan Taiwan. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda