Messi legakan Barca


shadow

MADRID: Lionel Messi melonjakkan semangat Barcelona apabila kembali menjalani latihan bersama keseluruhan skuad, semalam selepas tersisih susulan kecederaan betis.

Messi berlatih bersendirian pada sesi pagi sebelum menyertai rakan sepasukannya di sebelah petang yang sekali gus meningkatkan peluang kapten Barca itu boleh diturunkan ketika perlawanan La Liga menentang Real Betis, Ahad ini.

Bintang Argentina itu mengalami ketegangan betis pada 5 Ogos lalu yang juga sesi latihan pertamanya sejak pulang dari kempen Copa America sekali gus terlepas aksi pra-musim bersama pasukannya.

Tetapi ia tetap satu kejutan jika Messi disenaraikan dalam kesebelasan utama di Nou Camp dengan jurulatih, Ernesto Valverde jelas teruja untuk membenarkan bintang utamanya itu kembali beraksi selepas kekalahan mengejut 0-1 pasukannya kepada Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan liga minggu lalu.

Selain Messi, beberapa penyerang Barca turut mengalami kecederaan.

Penyerang Uruguay, Luis Suarez dijangka terpaksa diketepikan selama sebulan selepas dipalit kecederaan betis dalam aksi bertemu Bilbao dan Ousmane Dembele mengalami masalah hamstring dan memerlukan lima minggu untuk pulih.

Antoine Griezmann, pemain yang dibeli dengan nilai 120 juta euro (RM555.66 juta) dari Atletico Madrid menjadi satu-satunya penyerang yang masih cergas dengan Rafinha dan pemain berusia 21 tahun, Carles Perez menjadi pilihan untuk bergandingan dengannya.

Kekurangan pemain di jentera serangan turut meningkatkan spekulasi bintang Paris Saint-Germain, Neymar mungkin pulang semula ke Nou Camp sebelum jendela perpindahan di Sepanyol ditutup pada 2 September ini. – AFP

Tinggalkan komen anda