‘Mustahil Hazard capai tahap Ronaldo di Real’


shadow

MADRID: Eden Hazard tidak berupaya menyamai tahap Cristiano Ronaldo di Real Madrid, kata bekas penyerang Galacticos, Predrag Mijatovic.

Bekas pemain sayap Chelsea itu melengkapkan perpindahan mewah ke Bernabeu, musim panas ini dan dijangka memikul peranan penting dalam skuad kendalian Zinedine Zidane yang mengharungi kempen mengecewakan pada kempen 2018-19.

Untuk mengulangi impak dicetuskan Ronaldo di Real jelas tugas yang sukar selepas penyerang sensasi Portugal itu sudah menjaringkan 450 gol dalam 438 perlawanan bersama Los Blancos.ADVERTISING

Hazard masih belum tampil dalam aksi kompetitif bersama Real selepas mengalami kecederaan hamstring, sehari sebelum perlawanan pembukaan La Liga menentang Celta Vigo, 17 Ogos lalu.

Real memenangi perlawanan itu 3-1 di sebalik kad merah yang diterima Luka Modric diikuti keputusan seri 1-1 di gelanggang sendiri bertemu Real Valladolid yang menyaksikan mereka menghuni tangga ketiga liga selepas dua perlawanan.

Dijangka tersisih selama empat minggu, Hazard berkemungkinan akan diturunkan pada aksi menentang Levante pada 14 September ini selepas rehat antarabangsa.

“Hazard pemain yang amat bagus, sudah pasti. Dia adalah salah seorang pemain terbaik di Eropah. Tetapi daripada pandangan saya, kami tidak boleh menjangkakan dia akan melakukan apa yang dibuat Ronaldo,” kata Mijatovic. 

“Dalam pendapat saya, ia mustahil, tiada pemain yang boleh bermain seperti Ronaldo. Tekanan di Madrid berbeza dengan tekanan di Chelsea dan kamu memerlukan masa untuk menanganinya.”

Zidane berharap pembelian Hazard akan membantu Real memperbaiki keputusan yang diraih musim lalu dengan kelab itu mengharungi musim panas yang sibuk dan berpotensi untuk membuat beberapa lagi pembelian sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup 2 September ini. – Agensi

Tinggalkan komen anda