Pelumba Terengganu kuasai Kejohanan Trek Kebangsaan


shadow

NILAI: Pelumba Terengganu menguasai Kejohanan Trek Kebangsaan yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai hari ini dengan jaguhnya, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa masing-masing menghadiahkan dua pingat emas. 

Pada saingan hari pertama, Terengganu mengumpul keseluruhan tujuh emas, tiga perak dan satu gangsa meninggalkan Perak di tempat kedua dengan dua emas dan dua perak. 

Azizulhasni yang di sebelah awalnya memberi kejutan memenangi pingat emas acara 1 kilometer ujian masa individu elit lelaki, sekali lagi cemerlang apabila menewaskan Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor di pusingan final acara pecut untuk menyarung jersi kebangsaan. 

Pelumba Johor, Muhammad Shah Firdaus Shahrom berada di tempat ketiga apabila menewaskan rakan sepasukan, Amar Danial Masri. 

“Saya gembira apabila dapat perlumbaan yang bagus dan latihan yang baik bagi saya. Keseluruhannya saya gembira dengan persembahan saya pada hari yang panjang untuk saya,” kata Azizulhasni. 

The Pocketrocketman yang memenangi satu pingat emas acara pecut dan satu perak keirin pada Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara yang berakhir Jumaat lalu, berkata persembahannya pada Grand Prix dan Kejohanan Kebangsaan ini memberikannya lebih keyakinan.

Malah ia turut memberinya mata tambahan bagi membaiki ranking dunia sekali gus meletakkannya dalam kedudukan selesa melayakkan diri ke siri Piala Dunia. 

Azizulhasni berada di ranking dunia ke-24 acara pecut pada ketika ini dan dijangka bakal membaiki kedudukan menerusi mata yang dikumpul ketika Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara sementara kedudukan Shah Firdaus masih belum selesa apabila menduduki tempat ke-34 dunia. 

Untuk rekod, hanya 32 pelumba di ranking terbaik acara pecut yang akan melayakkan diri ke Piala Dunia musim hadapan. 

Sementara itu, Shah Firdaus yang sebelum ini dikatakan tidak diturunkan pada Kejohanan Trek Kebangsaan kali ini oleh ketua jurulatih berbasikal John Beasley berikutan demam, terpaksa berpuas hati dengan gangsa. 

“Saya tidak mahu terlalu lama berehat kerana saya mahu buat persiapan untuk Grand Prix China (30 Ogos ini) pula. John ada nasihatkan untuk saya berehat tetapi saya rasa saya masih boleh berlumba biarpun keadaan fizikal belum lagi 100 peratus di tahap cergas. 

“Sejak saya demam ini pun saya sudah turun dua kilogram jadi saya tidak mahu badan saya terlalu lama berehat,” katanya yang mengalami demam selepas tiba dari Eropah pada Ahad lalu. 

Tinggalkan komen anda