Polis siasat pergaduhan penyokong Liverpool, City


shadow

LONDON: Polis sedang menyiasat laporan pergaduhan membabitkan kumpulan penyokong Liverpool dan Manchester City yang meletus sebelum perlawanan Perisai Komuniti berlangsung di Stadium Wembley, malam tadi.

Rakaman pergaduhan itu tular di media sosial yang menyaksikan sekumpulan lelaki bergaduh di dalam stesen kereta api bawah tanah London yang kemudian merebak hingga ke stesen Great Portland Street.

Polis Pengangkutan British (BTP) berkata, setakat ini belum ada tangkapan dan belum menerima laporan kecederaan.

“Pegawai BTP menerima panggilan jam 2.02 petang susulan laporan pergaduhan besar di Stesen Great Portland Street, London.

“Pergaduhan itu dilaporkan membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak. Siasatan kes ini masih diteruskan.

“Pegawai penyiasat sedang berusaha mengesan identiti kumpulan terbabit namun tiada sebarang laporan kecederaan diterima setakat ini.

“Belum ada sebarang tangkapan dilakukan,” kata BTP menerusi kenyataan pagi ini.

Dalam perlawanan itu, City menang 5-4 menerusi penentuan penalti selepas aksi sebenar terikat 1-1. –  Agensi 

Tinggalkan komen anda