PSG hilang khidmat Mbappe, Cavani


shadow

PARIS: Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe terpaksa diketepikan selama empat minggu manakala Edinson Cavani, tiga minggu selepas kedua-duanya mengalami kecederaan ketika perlawanan Ligue 1 bertemu Toulouse, semalam.

Pemenang Piala Dunia Perancis, Mbappe terpaksa dipapah keluar susulan masalah hamstring kiri ketika PSG merakam kemenangan 4-0 di Parc des Princes, umum juara Perancis itu.

Kecederaan itu bermakna dia akan terlepas aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bersama pasukannya yang dijadual pada 17 atau 18 September ini.

Selain itu, dia juga dijangka akan tersisih bagi tiga perlawanan liga selain aksi kelayakan Euro 2020 ketika Perancis bertemu Albania dan Andorra di gelanggang sendiri, awal bulan depan.

Rakan sepasukannya, Cavani mengalami kecederaan pinggul pada perlawanan sama dengan PSG mengesahkan penyerang bintang Uruguay itu akan diketepikan selama tiga minggu, yang bermakna dia mungkin sempat pulih bagi saingan Liga Juara-Juara.

Situasi berkenaan jelas menambah masalah PSG yang turut dibelenggu dengan kemelut perpindahan membabitkan bintangnya, Neymar.

Pemain kelahiran Brazil itu tidak menyembunyikan hasrat untuk berpindah ke Sepanyol tetapi perjanjian mengenainya masih belum direalisasikan berbaki kurang seminggu sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup.

Tetapi sekiranya dia kekal, pemain termahal dunia itu tidak dapat membantu PSG dalam kempen Liga Juara-Juara selepas dia digantung tiga perlawanan bagi aksi Eropah itu. – AFP

Tinggalkan komen anda