Reds minat Coutinho tapi…


shadow

LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan kelab berkenaan berminat untuk menandatangani semula Philippe Coutinho tetapi tidak berupaya membawa pulang bintang Brazil itu ke Anfield.

Coutinho menyertai Bayern Munich secara pinjaman bagi kempen 2019-20, semalam dengan kelabnya, Barcelona turut memberi pilihan perpindahan secara tetap menerusi nilai €120 juta (RM556.26 juta) pada penghujung musim.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian juga, Bayern perlu membayar €8.5 juta (RM39.40 juta) yuran pinjaman dan bersetuju untuk membayar penuh gaji pemain berusia 27 tahun itu.

Coutinho bergelut untuk menyamai nilai mahal €160 juta (RM741.68 juta) yang dibayar Barca ketika membelinya dari Liverpool pada Januari 2018 yang menyaksikan gergasi Sepanyol itu berusaha untuk menjualnya ketika perpindahan musim panas.

Antara yang dikaitkan ialah Paris Saint-Germain yang turut membabitkan pertukaran dengan Neymar selain Liverpool tetapi perpindahan ke England tidak menjadi kenyataan kerana bekas pasukannya itu tidak memiliki kemampuan dari sudut kewangan.

“Bunyinya agak aneh, tetapi kami tidak mampu, kami sudah membelanjakan banyak wang yang kami peroleh daripada penjualannya,” kata Klopp yang turut mendedahkan tidak berniat untuk menjual Coutinho 19 bulan lalu tetapi tawaran Barca terlalu sukar untuk ditolak.

“Kami berat hati untuk melepaskannya, tetapi Barcelona memaksa kami menggunakan wang. Perpindahan adil untuk kedua-dua pihak. Dia adalah pemain yang menakjubkan dan lelaki yang hebat. Dia adalah pemain berkelas dunia yang boleh mengubah permainan di masa dan suasana yang tepat.”

Klopp melaburkan semula duit yang diperoleh daripada penjualan Coutinho dengan membeli penjaga gol, Alisson Becker dan Virgil van Dijk dari Southampton dengan kedua-duanya menjadi tonggak Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu. – Agensi

Tinggalkan komen anda