Roger Federer mara Terbuka Amerika Syarikat


shadow

NEW YORK: Roger Federer sekali lagi mengharungi permulaan perlahan sebelum menundukkan pemain Bosnia, Damir Dzumhur untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Juara Grand Slam 20 kali itu kelihatan bergelut di awal permainan, namun bangkit menewaskan Dzumhur yang berada di ranking ke-99 dengan keputusan 3-6, 6-2, 6-3, 6-4 dalam perlawanan di gelanggang berbumbung di Stadium Arthur Ashe.

Pemain Switzerland yang berusia 38 tahun serta pilihan ketiga itu turut tewas pada set pertama menentang pemain pusingan kelayakan, Sumit Nagal dari India dalam perlawanan pembukaan tetapi bangkit  daripada 17 kesilapan dalam set pertama.

“Apabila berlaku seperti ini, dua perlawanan berturut-turut, ia amat mengecewakan terutama apabila tahap permainan serendah itu, berlaku banyak kesilapan dan tenaga tidak begitu baik,” kata Federer.

“Saya tidak jangka melakukan 15 hingga 20 kesilapan mudah, seperti saya memberikan set itu dengan mudah… saya perlu bermain lebih baik dari awal.”

Federer, juara lima kali Terbuka AS, terlepas gelaran kepada pemain ranking tertinggi Novak Djokovic bulan lalu dalam pertembungan penuh epik di final Wimbledon.

“Saya tidak bimbang. Saya hanya perlu mengambil secara positif kerana apabila saya tewas set pertama, saya menjadi lebih baik dan ia adalah satu perkara yang bagus,” katanya. – AFP

Tinggalkan komen anda