Saman tak dapat lihat aksi Ronaldo


shadow
CRISTIANO Ronaldo. – Foto AFP

LONDON: Kegagalan Cristiano Ronaldo untuk beraksi di atas padang pada aksi persahabatan Juventus di Korea Selatan baru-baru ini mengakibatkan peminat bertindak menyaman penganjur perlawanan.

Penyerang bintang itu kekal di bangku simpanan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung yang menyaksikan Juve seri 3-3 menentang pasukan K-League All Stars di Stadium Piala Dunia Seoul, minggu lalu.

Peminat yang hadir menyaksikan perlawanan berkata mereka mengalami ‘kesedihan mental’ dengan tindakan Ronaldo selepas penganjur, The Fasta Inc mendakwa pemain berusia 34 tahun itu terikat dengan kontrak untuk beraksi pada perlawanan berkenaan.

Peguam, Kim Min-ki, yang mengetuai tindakan undang-undang terhadap penganjur berkata dia akan mengemukakan saman berjumlah €53 (RM243) sebagai bayaran pemulangan tiket dan €759 (RM3,488) pampasan terhadap situasi ‘menyakitkan’ yang dihadapi peminat.

“Ramai peminat membeli tiket untuk melihat Ronaldo bermain. Fasta dalam publisiti mereka berkata syarikat itu sudah mendapat perjanjian dengan Juventus yang menetapkan Ronaldo akan bermain sekurang-kurangnya selama 45 minit dan pemain sama turut akan mengadakan majlis tandatangan bersama peminat.

“Secara normal dalam kes seperti ini, plaintif akan diberikan bayaran balik harga tiket, tetapi saya meletakkannya di bawah kes istimewa kerana syarikat itu, menerusi pengiklanan palsu, mengambil kesempatan terhadap peminat pemain bintang itu.

“Buat masa ini hanya ada dua plaintif yang menyaman syarikat itu, tetapi saya menerima banyak panggilan hari ini dan saya menjangkakan akan ada lebih 60,000 saman.

“Untuk kesedihan mental, saya ingin menyatakan beberapa daripada mereka adalah peminat yang setia, peminat yang benar-benar tulen. Jadi bagi mereka ia sangat menyakitkan kerana mereka amat menggemari Ronaldo.”

Ketua Pegawai Eksekutif The Fasta Inc, Robin Chang memberitahu penyiar Korea Selatan, SBS yang Ronaldo sepatutnya bermain pada separuh masa perlawanan dan dia hanya sedar mengenai situasi itu pada minit ke-55 perlawanan berlangsung.

“Apabila saya mempersoalkannya kepada (Pavel) Nedved, Naib Presiden Juventus, apa yang dia katakan ialah ‘Saya juga berharap Ronaldo akan berlari, tetapi dia tidak mahu. Maaf, tiada apa yang saya boleh lakukan’. Saya juga amat kecewa,” kata Chang.

Juventus juga belum memberikan komen mengenai situasi berkenaan. – Agensi

Tinggalkan komen anda