Saya jadi lagi bagus sebab Messi – Ronaldo


shadow

LISBON: Cristiano Ronaldo mengakui perseteruan dengan Lionel Messi menjadikannya ‘pemain lebih baik’ dan dia menikmati persaingan ‘sihat’ bersama bintang Argentina itu.

Begitupun, bintang Portugal itu yang mencipta kejayaan di Real Madrid itu mengulangi apa yang dikatakan seterunya dari Barcelona itu sebelum dia menyertai Juventus sambil mendedahkan mereka tidak pernah berhibur bersama.

“Saya benar-benar mengagumi karier yang dia miliki dan dari pihaknya, dia sudah pun menyatakan mengenai kekecewaannya apabila saya meninggalkan Sepanyol kerana ia adalah perseteruan yang amat dia hargai,” kata Ronaldo kepada TVI di negara kelahirannya.

“Ia permusuhan yang baik tetapi ia bukan unik. Michael Jordan mempunyai seteru dalam bola keranjang, ada perseteruan Ayrton Senna dan Alain Prost di Formula Satu. Semua perkara ini adalah serupa iaitu ia adalah perseteruan yang sihat.”

Ronaldo dan Messi masing-masing sudah memenangi lima gelaran Ballon d’Or yang menjadi faktor membantu kedua-duanya kekal menyinar.

“Saya tiada keraguan yang Messi menjadikan saya lebih baik dan sebaliknya. Apabila saya memenangi trofi ia pasti menyakitinya dan perkara sama terjadi kepada saya jika dia menang.

“Saya mempunyai hubungan profesional yang baik kerana kami sudah berkongsi perkara yang sama selama 15 tahun. Tetapi kami tidak pernah makan malam bersama tetapi saya tidak dapat melihat mengapa kami tidak boleh melakukannya pada masa depan. Saya tidak melihat ada masalah mengenainya.” – AFP

Tinggalkan komen anda