Selangor sedia jadi hos Sukan Komanwel 2026


shadow

PETALING JAYA: Selangor menawarkan diri menjadi tuan rumah utama kepada Sukan Komanwel 2026 sekiranya Malaysia berhasrat untuk membida bagi penganjuran temasya sukan berprestij itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata walaupun perkara itu masih di peringkat awal, beliau percaya setidak-tidaknya satu bandar raya – kemungkinan Shah Alam, mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menjadi tuan rumah acara itu.

“Selepas Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 1998, Selangor juga mengimpikan perkara yang sama. Ia adalah usaha berterusan pihak kami dan beberapa agensi berkaitan, kita akan mula dengan SUKMA (Sukan Malaysia) 2022 terlebih dahulu,” katanya selepas merasmikan acara sulung Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyokong idea Menteri Besar itu dan berkata ia adalah langkah yang baik di pihak negeri.

“Bagi MOM kita akan lihat bagaimana kita dapat membantu Selangor dalam merealisasikan semua impian dan harapan ini,” katanya.

Sebagai rekod, bekas Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar pada Februari tahun lalu berkata Malaysia belum bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel kerana kosnya yang tinggi.ADVERTISING

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Malaysia berupaya menganjurkan Sukan Komanwel 2026, namun segalanya bergantung kepada keupayaan politik.

Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat pertama kali pada 1998. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda