Sukar buat Sanches, Boateng di Bayern


shadow

BERLIN: CEO Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengatakan Renato Sanches dan Jerome Boateng mungkin ditunjukkan jalan keluar dari Bayern Munich dengan memberitahu Sky Germany bahawa kedua-dua pemain itu berdepan kesukaran untuk berada dalam kesebelasan utama musim ini.

Pemain tengah Portugal, Sanches dan pertahanan Jerman, Boateng masing-masing cuba untuk keluar dari Bayern sebelum ini kerana tidak berada dalam kesebelasan utama.

Sanches, 22, didenda 10,000 Euro (RM46,000) oleh kelab kerana memberi komen secara terbuka kerana tidak cukup bermain dan menyatakan keinginan untuk berhijrah selepas Bayern seri 2-2 berdepan Hertha Berlin Jumaat lalu.

“Renato ialah pemain yang mahu beraksi dan saya memahaminya. Kami perlu cari penyelesaian yang juga sesuai dengan jurulatih dan kelab,” kata Rummenigge kepada Sky.

CEO Bayern itu menyatakan simpati buat Sanches yang hanya membuat 17 kemunculan buat Bayern sejak tiba tiga tahun lalu selepas kejayaan selaku juara dan Pemain Muda Terbaik Euro 2016.

Dia juga mengakui bukanlah “sesuatu yang mudah” buat Sanches bersaing dengan pemain baharu ditandatangani, Philippe Coutinho.

Katanya, perkara sama juga berlaku terhadap pertahanan veteran, Jerome Boateng selepas kehadiran Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard. – AFP

Tinggalkan komen anda