Tinggal Zii Jia kibar cabaran


shadow

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal pemain perseorangan, Lee Zii Jia mengibarkan cabaran Malaysia dalam kempen Terbuka Thailand selepas mara ke separuh akhir, hari ini.

Zii Jia, 21, mengesahkan slot dalam kelompok empat terakhir selepas bangkit menewaskan pemain ke-34 dunia, Shesar Hiren Rhustavito 11-21 21-14 21-13.

Dia bakal menentang pemenang perlawanan antara Kenta Nishimoto dari Jepun dan Chou Tien Chen (Taiwan) untuk perebutan tiket ke final esok.

Bagi Zii Jia kemenangan itu melegakannya selepas berjaya menamatkan badi tewas dalam semua enam aksi suku akhir sepanjang tahun ini.

“Ia melegakan saya kerana akhirnya berjaya melepasi peringkat suku akhir selepas enam kegagalan. Saya memberitahu pada diri sendiri tidak kira walau apapun saya perlu menang perlawanan ini.

“Akhirnya, saya berjaya melakukannya. Saya gembira dengannya tetapi saya masih mempunyai aksi pada esok. Saya tidak boleh terlalu meraikannya, saya hanya perlu berehat,” katanya.

Kemenangan itu adalah kali ketiga buatnya ke atas Rhustavito sepanjang empat pertemuan antara mereka selain menutup kehampaan selepas tersungkur seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun, bulan lalu.

Sementara itu, beregu harapan negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan apabila tumpas kepada gandingan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen 21-16 21-19 dalam tempoh 33 minit.

Sonie Cheah juga berdepan nasib sama apabila tunduk di tangan bintang nombor empat dunia dari China, Chen Yu Fei 21-15 21-8.

Tinggalkan komen anda