PSG nanti kepulangan Neymar


shadow

PARIS: Selepas kemelut perpindahan ke Barcelona tamat, Neymar boleh kembali bersama Paris Saint-Germain hujung minggu ini.

Pemain termahal dunia itu perlu melalui musim ketiga di Ligue 1 selepas PSG dan kelab lamanya gagal mencapai persetujuan mengenai perpindahan sebelum tamat jendela perpindahan pada 2 September.

Neymar sejak itu beraksi dalam perlawanan antarabangsa bersama Brazil dalam dua perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat, menjaringkan satu gol selain satu lagi ketika seri 2-2 berdepan Colombia dan tampil selaku pemain simpanan ketika kalah 1-0 kepada Peru.

Ia adalah penampilan pertamanya musim ini selepas pemain berusia 27 tahun itu tidak digunakan dalam empat perlawanan awal liga PSG berikutan masa depannya yang tidak menentu.

Jika dia melepasi ujian kecergasan selepas perjalanan jauh melintasi Atlantik, jurulatih Thomas Tuchel boleh memilih Neymar bagi saingan malam esok menentang Strasbourg, pasukan sama ditentang ketika dia mengalami patah kaki ketika saingan pada Januari.

PSG kini tanpa Kylian Mbappe, yang mengalami kecederaan hamstring, ketika mereka juga bersedia menghadapi kempen Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid minggu depan di laman sendiri. 

Edinson Cavani juga mengalami masalah kecergasan.

Penyerang Argentina, Mauro Icardi boleh menyertai pasukan dari Inter, namun Tuchel mungkin akan cuba menggunakan Neymar, walaupun pemain itu digantung satu perlawanan berdepan Real dan tampak sukar menerima sambutan baik daripada penyokong kerana masalah perpindahannya.

“Dia tahu dia membuat kesilapan, tetapi dia tidak berniat buruk,” kata rakan sekelab yang juga senegara, Thiago Silva. “Dia pemain yang hebat. Saya harap dia melalui musim yang hebat.” – AFP

Tinggalkan komen anda