Ujian besar Valencia berdepan Barcelona, Chelsea


shadow

MADRID: Valencia sepatutnya mencari dua kemenangan berprestij berdepan Barcelona dalam La Liga dan Chelsea di Liga Juara-Juara namun sebaliknya berdepan krisis selepas memecat jurulatih, Marcelino Garcia Toral.

Marcelino dipecat Rabu lalu dan digantikan bekas pemain tengah Barcelona, Real Madrid dan Sepanyol, Albert Celades, yang berdepan ujian besar di Camp Nou awal pagi Ahad ini.

Pemecatan Marcelino, 54, oleh pemilik Valencia dari Singapura, Peter Lim mendedahkan pergeseran di kelab itu walaupun sudah banyak dilakukan jurulatih itu selepas dilantik pada 2017.

Kelab dua kali bergelar naib juara Liga Juara-Juara itu masih segar daripada kedudukan empat terbaik La Liga dan musim lalu menewaskan Barcelona pada final Copa del Rey untuk meraih trofi pertama mereka sejak 11 tahun.

Bagaimanapun Marcelino, bekas bos Sevilla dan Villarreal, kritikal terhadap polisi perpindahan kelab pada penutup musim termasuk cuba menjual penyerang Sepanyol, Rodrigo Moreno ke Atletico Madrid.

Rodrigo bagaimanapun kekal sama seperti Marcelino, untuk tiga perlawanan awal kempen kali ini.

Namun selepas memungut empat mata daripada keseluruhan sembilan, termasuk kemenangan 2-0 mengatasi Mallorca sebelum rehat perlawanan antarabangsa, jurulatih itu dipecat ketika pasukan itu bersedia menghadapi dua pertemuan terbesar mereka musim ini.

“Saya yakin anda akan melakukan yang terbaik ke mana saja anda pergi dan di mana saja mereka akan letakkan anda,” kata kapten, Dani Parejo menerusi Twitter. – AFP

Tinggalkan komen anda