Bottas terpantas sesi latihan di Litar Suzuka


shadow

SUZUKA: Valtteri Bottas mencatat masa terpantas sesi latihan pertama pagi ini mengatasi catatan rakan sepasukan Lewis Hamilton menjelang Grand Prix Jepun hujung minggu ini di tengah kebimbangan perlumbaan Formula Satu itu dibadai Taufan Hagibis – taufan paling kuat sejak 1958 yang dijangka melanda Jepun esok.

Pasangan pelumba Mercedes itu menggunakan jentera W10 yang dinaik taraf dan merakam masa sesaat lebih pantas berbanding jentera Ferrari yang dipandu Sebastian Vettel dan Charles Leclerc, yang masing-masing mencatat masa ketiga dan keempat terpantas.

Pelumba Red Bulls, Max Verstappen dan Alex Albon bakal menyusul selepas ini.

Penganjur perlumbaan itu sebentar tadi mengumumkan sudah membatalkan keseluruhan program di litar perlumbaan termasuk sesi kelayakan yang dijadualkan berlangsung di Litar Suzuka esok susulan kebimbangan impak Taufan Hagibis.

Ini bermakna, sesi kelayakan akan berlangsung pada jam 10 pagi Ahad dan perlumbaan sebenar akan dimulakan pada jam 2.10 petang hari sama seperti jadual asal.

“Selepas menerima laporan impak Taufan Hagibis ke atas Grand Prix Jepun, pihak Mobilityland dan Persekutuan Automobil Jepun mengambil keputusan membatalkan semua aktiviti yang dijadualkan pada 12 Oktober (esok),” umum Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sebentar tadi.

“FIA dan Formula One menyokong keputusan ini demi keselamatan penonton, pelumba dan setiap individu yang berada di Sirkit Suzuka,” katanya.

Pada 2004 dan 2010, sesi kelayakan Formula Satu di Jepun juga pernah ditunda pada Ahad berikutan cuaca buruk.

Dalam pada itu, penganjur mengumumkan bahawa sekiranya sesi kelayakan pada pagi Ahad juga tidak dapat dilangsungkan, maka catatan masa pada sesi ujian hari ini akan digunakan sebagai penentu kedudukan grid permulaan perlumbaan.

Pada sesi latihan pagi ini, catatan masa dirakam pelumba pasukan Silver Arrows, itu jelas makin hampir mengesahkan kejuaraan kategori pengeluar untuk Mercedes musim ini.

Bottas mencatat kepantasan 1 minit 28.731 saat sepusingan pada jarak 5.807 kilometer di sirkit itu mendahului Hamilton 0.076 saat.

Vettel pula mencatat masa ketiga terpantas 1:29.720 saat manakala Leclerc keempat terpantas dengan catatan 1:29.912 saat. – AFP

Tinggalkan komen anda