Luiz dedah punca sertai Gunners


shadow

LONDON: Pertahanan Arsenal, David Luiz mendedahkan perbezaan pendapat dengan bos Chelsea, Frank Lampard sebagai punca mengapa dia meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas dan menyertai Gunners.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengesahkan perpindahan bernilai £8 juta pound (RM41.23 juta) ke Arsenal selepas Lampard kembali ke Chelsea dan sejak itu, dia menjadi pilihan Unai Emery mengemudi bahagian pertahanan.

Sekali pun berdepan kritikan susulan beberapa kesilapan yang dibuat, Luiz membuktikan kemampuannya apabila meledak gol pertamanya untuk Gunners ketika kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, minggu lalu.

“Saya sentiasa menyukai Chelsea, tiada keraguan mengenainya. Saya melihat peluang tiba untuk saya menulis babak baharu dalam kehidupan saya di tempat yang berbeza,” kata Luiz.

“Tetapi saya sentiasa berterima kasih kepada Chelsea, kepada semua orang, kepada persahabatan. Ia adalah keputusan individu yang dibuat menerusi perbincangan yang jujur, di antara saya dan Frank Lampard, tiada orang lain.

“Kami mempunyai idea yang berbeza terhadap permainan di masa depan dan disebabkan oleh itu saya mengambil langkah yang berbeza. Cukup sukar disebabkan oleh permusuhan kedua-dua pasukan tetapi saya membuat keputusan meninggalkan Chelsea sebelum menerima tawaran Arsenal.

“Sejurus saya meninggalkan Chelsea, selepas beberapa hari, proposal daripada Arsenal tiba dan ia adalah satu lagi kelab yang hebat. Saya langsung tidak berfikir dua kali.” – Agensi

Tinggalkan komen anda