Menteri Belia dan Sukan kecewa


shadow

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan kegagalan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyelesaikan konflik dalaman badan induk terbabit.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terbaru berkaitan pertikaian pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF).

“Baru-baru ini saya dapat maklumat ada pertikaian dari segi pelantikan yang dilakukan satu persatuan dan menyebabkan proses pencalonan MPM menjadi masalah.

“Selaku menteri saya cuba tidak masuk campur tangan dan biar perkara ini diselesaikan mengikut peraturan sedia ada.

“Tetapi dalam bab ini, secara jujurnya saya kecewa kerana ia sudah berlarutan berbulan-bulan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran rasmi jenama pakaian sukan baharu ‘Team Mas’ di Menara KBS, hari ini.

Isu ini kembali hangat diperkatakan selepas tersebarnya surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sejak semalam yang mana pelantikan Khairy di MWRF adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan.

Ia sekali gus membantutkan peluang bekas Menteri Belia dan Sukan itu terus kekal bertanding merebut jawatan Presiden MPM selepas pencalonannya mendapat bantahan sesetengah ahli.

Kemelut AGM MPM yang sepatutnya berlangsung Jun lalu sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian meskipun beberapa langkah sudah diambil.

“MPM perlu selesaikan ia secepat mungkin dengan Sukan Para ASEAN makin dekat selain perancangan ke Sukan Para Olimpik Tokyo perlu dimulakan sejak ada,” ujar Syed Saddiq.

“Dah banyak orang datang jumpa dan tanya kenapa isu ini belum selesai, selagi lambat bermakna mereka (MPM) sendiri membebankan atlet Paralimpik.”

Tinggalkan komen anda