Nadal bantu Sepanyol juarai Piala Davis


shadow

MADRID: Tonggak Sepanyol, Rafael Nadal memastikan kejuaraan Piala Davis buat kali keenam buat negaranya awal pagi tadi apabila mereka menumpaskan Kanada 2-0 pada final kejohanan yang diberi nafas baharu itu.

Dengan Raja Felipe menonton aksi di La Caja Magica, Nadal yang berusia 33 tahun menewaskan pemain muda Kanada, Denis Shapovalov 6-3, 7-6 (9/7) untuk memberikan Sepanyol kejuaraan pertama sejak 2011.

Jika ada pemain berhak menjulang trofi lama itu sekali lagi, sudah tentunya Nadal selepas dia bekerja keras sepanjang minggu apabila sering kali beraksi hingga lewat malam untuk memenangi lapan perlawanan.

RAFAEL Nadal

Namun, dia mengakui akan lebih gembira jika rakan sepasukannya Roberto Bautista Agut memastikan mata kemenangan.

Bautista Agut memberikan tuan rumah permulaan baik apabila mengalahkan Felix Auger-Aliassime 7-6 (7/3), 6-2 selepas kembali ke skuad susulan kematian bapanya.

“Satu minggu yang mengagumkan,” kata Nadal, yang kini menang 29 perlawanan perseorangan Piala Davis berturut-turut sejak 2004. “Orang yang paling penting pastinya Roberto Bautista.”

Selepas mengalahkan Auger-Aliassime, Bautista Agut dipeluk kapten, Sergi Bruguera yang menyaksikan suasana penuh emosi di hujung laungan “Campiones” di sekitar arena itu.

“Ia satu hari yang diimpikan dan semua rakan sepasukan melakukan usaha menakjubkan, terutama Rafa, yang hanya tidur pada jam 3, 4 dan 5 pagi dan hari berikutnya keluar untuk bermain,” kata Bautista Agut. “Ia disebabkan kami warga Sepanyol.” – REUTERS

Tinggalkan komen anda