Solskjaer gembira, kecewa


shadow

SHEFFIELD: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan semangat melawan pemainnya yang bangkit selepas ketinggalan 0-2 untuk mendahului 3-2 di Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi menggembirakannya.

Bagaimanapun, dia kecewa dengan satu lagi persembahan buruk ketika seri 3-3 di Bramall Lane.

The Red Devils ketinggalan 0-2 apabila mereka gagal memberi cabaran malah aksi itu lebih dikuasai pasukan pendatang baharu itu.

BRANDON Williams

Namun tiga gol dalam tempoh tujuh minit daripada Brandon Williams, Mason Greenwood dan Marcus Rashford mengubah arus perlawanan dan meletakkan pelawat dalam laluan mencatat kemenangan sama seperti ketika zaman Alex Ferguson.

Tuan rumah bagaimanapun tidak mengalah dengan Oliver McBurnie menyamakan kedudukan pada masa kecederaan untuk menafikan Manchester United kemenangan kedua di tempat lawan musim ini.

“Ia persembahan yang terlalu teruk,” kata Solskjaer. “Secara jujur, saya memikirkan semula aksi Everton (kekalahan April lalu) kerana pasukan itu berputus asa dan pasukan ini tidak. Jadi apabila kami mendahului ia satu jawapan hebat daripada pemain.”

Semua gol Manchester United disumbangkan pemain dari produk akademi dan ia kali pertama United mempunyai dua pemain remaja sebagai penjaring dalam aksi Liga Perdana sejak Oktober 2005, memberikan Solskjaer satu lagi keyakinan.

AKSI Mason Greenwood ketika menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi. – Foto Reuters

“Ingat pemain ini masih muda. Apabila mereka meraih keyakinan selepas gol pertama, tiba-tiba kami mendahului dan mereka mencuba perkara yang boleh melenyapkan kebimbangan.

“Saya yakin pemain muda ini mendapat banyak pengajaran hari ini.” – REUTERS

Tinggalkan komen anda