Soon Huat-Shevon mampu bawa pulang emas


shadow

MANILA: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menghadirkan petanda positif menjelang Sukan SEA 2019 dengan mereka tampak di landasan terbaik bagi menjelmakan pingat emas buat skuad negara.

Pasangan ranking nombor lapan dunia itu menunjukkan peningkatan prestasi positif dalam tiga kejohanan terakhir disertai mereka termasuk bergelar naib juara Masters Korea, semalam.

Pada aksi di Gwangju itu, Soon Huat-Shevon terlepas gelaran juara apabila tewas di tangan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 14-21, 15-21.

Sebelum itu, mereka turut mempamerkan prestasi membanggakan apabila berjaya mara sehingga separuh akhir Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui, berkata peningkatan prestasi ditunjukkan anak buahnya sudah pasti meningkatkan tahap keyakinan mereka bagi menghadapi temasya di Manila kali ini.

Soon Huat-Shevon bakal hadir dengan misi menebus kekecewaan dua tahun lalu di Kuala Lumpur apabila sekadar menamatkan saingan individu dengan meraih perak.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi mereka dalam tiga kejohanan terakhir. Ini sesuatu yang baik sebelum mereka beraksi di Sukan SEA.

“Bagaimanapun, cabaran di Sukan SEA tidak mudah apatah lagi pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti (ranking nombor lima dunia) turut beraksi.

“Jadi, mereka perlu kekal fokus,” kata Eei Hui kepada BH Sukan.

Sementara itu, Shevon berpuas hati dengan prestasi mereka dalam tiga kejohanan berkenaan dengan menyifatkan mereka bermain dengan lebih konsisten.

“Namun, masih ada kelemahan yang perlu kami perbaiki. Diharapkan kami boleh kekalkan keputusan seperti ini,” kata Shevon.

Sukan badminton akan membuka tirai saingannya bermula dengan acara berpasukan pada 1 Disember ini.

Skuad lelaki negara akan memulakan aksi menentang tuan rumah, Filipina dan jika menang Myanmar atau Singapura menanti di peringkat separuh akhir.

Bagi saingan berpasukan wanita pula, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kemboja dan jika menang akan bertemu juara bertahan, Thailand.

Tinggalkan komen anda