‘Tempoh sukar’ lonjak keyakinan Rashford


shadow

LONDON: Selepas meledak sembilan gol dalam 10 perlawanan terakhir bersama Manchester United dan England, Marcus Rashford berkata dia sudah melupakan permulaan sukar serta kembali yakin di depan gawang.

Penyerang berusia 22 tahun itu turut berkata prestasinya kembali melonjak selepas dia mengharungi perlawanan secara konsisten.

“Ia tempoh yang sukar tetapi kini saya bermain secara konsisten dan beraksi setiap minggu,” kata Rashford yang meledak gol dalam kedua-dua perlawanan kelayakan Euro 2020 bersama England menentang Montenegro dan Kosovo. “Sebagai penyerang ia amat penting.

“Jika kamu tidak berada dalam pasukan dan kadang-kala bermain dan kemudian tidak, sukar untuk kamu mendapat keyakinan di depan gawang. 

“Tetapi apabila kamu diberi peluang untuk bermain, adalah penting untuk tampil dengan persembahan yang baik dan sebaik saja kamu melakukannya, ia akan datang secara semula jadi.”

England menjaringkan 11 gol dalam dua perlawanan kelayakan terakhir dan 37 secara keseluruhan sepanjang lapan perlawanan dan Rashford berkata penting untuk pasukan memanfaatkan kekuatan di bahagian serangan.

“Saya sudah beraksi dalam dua kejohanan dan skuad ini amat penting,” katanya. “Dengan kualiti yang dimiliki setiap pemain dalam pasukan ini, ia adalah sesuatu yang kita perlu gunakan sebagai kelebihan.” – Reuters

Tinggalkan komen anda