Ujian di Valencia positif buat Hafizh


shadow

KUALA LUMPUR: Ujian dua hari di Valencia berjalan lancar buat Hafizh Syahrin Abdullah yang buat kali pertama kali menguji jentera Moto2 pasukan Angel Nieto selepas dua musim beraksi dalam kelas perdana MotoGP. 

Sesi ujian ‘pandang pertama’ dengan motosikal menggunakan enjin Triumph 765cc – pertama kali digunakan musim ini – jelas positif meskipun Hafizh harus pantas menyesuaikan dirinya dengan jentera Moto2 selepas kali terakhir berada dalam kelas pertengahan itu pada 2017.

“Bagi saya, ujian dua hari ini sangat bagus,” kata Hafizh yang menamatkan musim 2019 dengan sembilan mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan dalam senarai pelumba kelas perdana, MotoGP.

“Cuma saya perlu banyak melakukan pusingan (tunggangan) bersama jentera ini kerana banyak perbezaan antara (jentera) MotoGP dan Moto2. Tayar pun lain dan paling berbeza ialah brek. 

“Itu yang paling penting untuk saya pertingkatkan. Corak tunggangan (untuk) MotoGP dan Moto2 juga sedikit berbeza. Apapun, yang lain tiada masalah buat saya. Cuma perlukan lebih banyak pusingan (bersama motosikal).

“Selebihnya, dalam ujian ini saya tak begitu jauh dengan pelumba yang pantas. Saya gembira dan harap kami dapat buat yang lebih baik di Jerez nanti.”

Menggunakan enjin Triumph dan chasis Speed Up buat kali pertamanya, Hafizh melakukan 120 pusingan di Valencia dalam tempoh dua hari ujian berkenaan yang berakhir semalam. 

Ujian pra musim 2020 seterusnya dijadual berlangsung di Litar Jerez pada 19 hingga 21 Februari ini.

Tinggalkan komen anda