Chong Wei cabar badminton lelaki menang emas


shadow

MANILA: Datuk Lee Chong Wei melontarkan cabaran kepada skuad badminton lelaki negara untuk mengulangi pencapaiannya dan rakan-rakan yang berjaya memenangi pingat emas berpasukan pada Sukan SEA 2005 di Manila.

Malaysia akan turun menentang musuh tradisi, Indonesia pada aksi final Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Muntinlupa di Manila, esok.

Pada edisi 2005 yang juga kali terakhir skuad badminton memenangi emas berpasukan turut menyaksikan Malaysia berdepan Indonesia tetapi berjaya menewaskan lawan itu 3-2 pada aksi final.

Chong Wei yang juga bekas jaguh perseorangan lelaki negara, berkata situasi ketika itu sama seperti sekarang yang mana Indonesia diletakkan sebagai pilihan bagi meraih emas.

“Pemain tidak perlu berasa gentar kerana kita tidak akan rugi apa-apa, sama juga situasinya ketika 2005 di Manila. Yang paling, penting pemain berjuang habis-habisan.

“Kalau kita tengok sekarang memang Indonesia lebih baik daripada kita, kalau kita menang ia bonus. Saya yakin dengan kemampuan pemain kali ini dan pemain akan menunjukkan semangat juang tinggi untuk perlawanan final esok.

“Saya akan saksikan perlawanan esok (di televisyen) dan saya ucapkan selamat berjuang kepada semua pemain negara,” kata Chong Wei yang tewas kepada Taufik Hidayat 13-15, 7-15 pada aksi final 2005 itu.

Tiga mata kemenangan skuad negara ketika itu disumbangkan beregu lelaki, Chan Chong Ming-Koo Kiean Keat dan dua perseorangan lelaki, Muhamad Hafiz Hashim serta Wong Choong Hann yang kini bersama pasukan sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Aksi final esok bakal menyaksikan Malaysia meletakkan sandaran kepada perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi membutirkan dua mata pertama untuk membina momentum pasukan.

Zii Jia dijangka bertemu pemain nombor enam dunia, Jonathan Christie manakala Aaron-Wooi Yik hampir pasti menentang Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto.

Bagi Aaron, biarpun menang semua tiga pertemuan ke atas Fajar-Rian sebelum ini namun itu boleh dianggap sebagai kelebihan dan mereka tetap perlu berwaspada apabila turun ke gelanggang.

“Walaupun kami menang beberapa kali, namun ini adalah acara berpasukan dan situasinya berbeza berbanding saingan individu. Dalam fikiran kami sekarang adalah 0-0.

“Saya percaya dengan kemampuan rakan yang lain dan tiada apa yang mustahil untuk kami mencipta kejutan,” kata Aaron.

Tinggalkan komen anda