Farah Ann, Fu Jie tambah emas gimnastik


shadow

MANILA: Skuad gimnastik kebangsaan meneruskan aksi cemerlang mereka di Sukan SEA ke-30 di Rizal Memorial Coliseum hari ini, dengan memenangi dua emas, satu perak dan dua gangsa pada Selasa

Selepas terlepas pingat emas dalam acara palang bertingkat dalam dua edisi sebelum ini di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017, gimnas utama negara, Farah Ann Abdul Hadi akhirnya mengunggulinya selepas berjaya menarik para juri untuk memberikan markah 12.376 mata, hari ini. Ini pingat emas keduanya selepas memenangi acara all-round, semalam.

Atlet Vietnam Do Thi Ngoc perak (11.767 mata), manakala gimnas muda negara Rachel Yeoh Li Wen yang mengutip mata yang sama dengan atlet Vietnam itu hanya diberikan gangsa.

Terdahulu pada acara melombol, Farah, 25, hanya menduduki tempat keempat dengan 12.900 mata, manakala rakan senegara Tan Ing Yueh gagal mempertahankan pingat emas, selepas menduduki tempat kedua dengan 13.300 mata.Pemenang pingat perak di Kuala Lumpur, Rifda Irfarnaluthfi dari Indonesia, menang emas dengan 13.484 mata.

“Saya amat gembira kerana inilah pingat yang saya gagal menang di Kuala Lumpur dan Singapura. Jadi berasa bersyukur untuk mendapat pingat ini kali ini,” kata Farah selepas majlis penyampaian pingat.

Farah akan bertanding untuk mempertahankan pingat emasnya, dalam acara senam lantai pada Rabu.

Sementara itu Tan Fu Jie mengekalkan pingat emasnya dalam acara kekuda pelana selepas mengumpul 13.967 mata, menewaskan atlet tuan rumah Carlos Edrial Yulo (13.233) dan atlet Vietnam Dinh Phoung Thanh (12.867).

“Pingat emas ini amat bermakna untuk saya, kerana selepas Sukan SEA saya gagal beraksi dengan baik. Menang pingat emas ini, menunjukkan yang saya masih boleh lakukannya,” katanya.

Terdahulu, Zul Bahrin Mat Asri menang pingat gangsa dalam acara senam lantai, selepas mengutip 13.767 mata.

Atlet tuan rumah Carlos Edrial Yulo menang emas selepas mendapat 14.700 mata, manakala atlet Thailand Surintornta Tikumporn menang perak (13.833).

Malaysia kini mendahului dalam carta pungutan pingat acara gimnastik selepas menang tiga emas, satu perak dan tiga gangsa.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda