Jangan bandingkan Greenwood dengan Rooney – Solskjaer


shadow

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer enggan membandingkan Mason Greenwood dengan Wayne Rooney selepas penyerang muda itu menyinar ketika Manchester United menewaskan AZ Alkmaar 4-0 dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

United berterusan mencipta kebangkitan pada bulan ini dan selepas kebuntuan gol pada babak pertama, pemain veteran Ashley Young membuka tirai jaringan sebelum Greenwood menunjukkan taringnya dengan menyumbat dua gol.

Satu lagi gol dalam aksi di Old Trafford itu dijaringkan menerusi penalti oleh Juan Mata.

Dengan dua gol, Greenwood ketika ini adalah penjaring kedua terbanyak United musim ini – enam gol – di belakang Marcus Rashford yang sudah menyumbat 13 gol setakat ini.

Tetapi apa yang dilakukan oleh pemain berusia 18 tahun itu boleh dianggap baik terutama selepas dia hanya disenaraikan sebanyak enam kali dalam kesebelasan utama oleh Solskjaer.

“Dia seorang penyudah yang berada di kelas yang berbeza,” kata Solskjaer. “Di sekitar kotak penalti, kamu akan menjangkakan dia akan melakukan cubaan. Dia juga amat tepat dalam sentuhan penyudah. Dia bagus bagaimana dia mencipta ruang untuk dirinya.”

Sambil memuji kualiti Greenwood, Solskjaer enggan membandingkan kualiti pemain itu dengan legenda Red Devils, Wayne Rooney yang turut mencipta nama apabila meledak hatrik pada penampilan sulungnya dalam saingan Liga Juara-Juara menewaskan Fenerbahce ketika berusia 18 tahun.

“Tidak, tidak, tidak. Dia (Mason) adalah pemain yang berbeza, tetapi mereka pasti menikmati malam itu,” kata Solskjaer. “Bagi Mason, tumpuannya akan terarah kepada perlawanan pada Ahad ini, dia tidak akan berehat.”

Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Tottenham dan Manchester City, Solskjaer mengakui skuad kendaliannya menuju perlawanan dengan Everton dalam saingan Liga Perdana dengan motivasi terbaik.

“Ia amat bagus. Banyak perkara boleh berubah dalam tempoh seminggu, tetapi bagi kami, kami hanya mahu terus bermain. Ia bagus,” katanya. – Agensi

Tinggalkan komen anda