Pelumba Malaysia guna basikal trek paling mahal di Olimpik, kata laporan


shadow

PELUMBA pecut Malaysia akan menggunakan basikal trek paling mahal di Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang berharga RM128,000 (€28,000), dedah satu dokumen yang bocor.

Lembaran hamparan yang bocor itu dikirim baru-baru ini kepada persekutuan lumba basikal di serata dunia dan diserahkan kepada penerbitan basikal BikeRadar oleh sumber industri.

Dokumen itu mendedahkan kos kebanyakan basikal trek dan komponen yang didaftarkan dengan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) untuk kegunaan Sukan Olimpik akan datang, bermula 24 Julai tahun depan.

“Barang paling mahal dalam senarai, Worx Vorteq Track, ialah rangka basikal yang dibuat untuk pasukan pecut Malaysia, kata sumber kami,” lapor BikeRadar.

“Butir-butir mengenai pada masa ini tidak memadai tetapi lebih banyak maklumat akan didedahkan pada 31 Disember ini, menurut laman web Worx,” tambah laporan itu.

Sebagai perbandingan, laporan itu menyebut pasukan Great Britain akan menggunakan Hope HB.T, yang berharga £15,500 (RM83,000) bagi rangka basikal yang standard.

Sementara itu, pelumba Jerman akan menggunakan rangka jenis FES B20 dan FES B16 masing-masing berharga €14,143.40 (RM64,200) dan €10,607.55 (RM48,600). Ia direka oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Peralatan Sukan Jerman.

Di bawah peraturan UCI, mana-mana basikal yang akan digunakan dalam Sukan Olimpik Tokyo perlu disahkan untuk kejohanan antarabangsa pada tarikh yang sama.

Senarai itu diberikan kepada semua persatuan lumba basikal kebangsaan demi keadilan, dengan menunjukkan semua basikal dan komponen yang ada di pasaran kepada semua peserta.

Malaysia menaruh harapan kepada Azizulhasni Awang, 31, untuk menang pingat emas dalam acara pecut.

Beliau yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” meraih pingat pertama Malaysia dalam acara lumba basikal apabila menduduki tempat ketiga dalam acara Keirin lelaki di Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Temasya di Tokyo adalah penampilannya yang keempat, dan beliau berharap dapat menyumbang pingat emas pada kali ini.

The Malaysian Insight masih menunggu komen daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Azizulhasni mengenai kos basikal trek yang akan digunakan di Tokyo nanti.

Tinggalkan komen anda