Sukan SEA Ke-30 Filipina: Pencapaian atlet MSSM-MILO membanggakan


shadow

KUALA LUMPUR: Peneraju program pembangunan sukan di peringkat akar umbi, MILO gembira dengan atlet muda yang mencipta kebanggaan buat negara pada Sukan SEA ke-30 di Filipina yang melabuhkan tirainya, kelmarin.

Tradisi kecemerlangan sukan daripada peringkat akar umbi yang diterajui MILO sejak lebih 60 tahun lalu banyak meninggalkan kesan positif bukan sahaja daripada segi pembangunan sukan tanah air, malah komuniti dan masyarakat setempat.

Kumaran Nowuram.

“Sebagai peneraju program pembangunan sukan di peringkat akar umbi, MILO berkongsi kebanggaan seluruh rakyat dengan pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA Ke-30,” kata Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan MILO & Susu, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumaran Nowuram.

“Kepada atlet muda yang pernah dipupuk menerusi kejohanan MSSM-MILO, kami berharap kejayaan yang ditempa akan menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh menuju cita-cita,”.

Pada temasya di Filipina kali ini, seramai 396 daripada 773 atlet negara yang kali pertama bertanding dengan kebanyakannya adalah kalangan yang dilahirkan menerusi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)-MILO yang dianjurkan sejak lebih 40 tahun lalu.

Kerjasama MILO dan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Kejohanan MSSM-MILO menjadi antara program yang menjadi tapak permulaan kerjaya sukan atlet muda ini. Melalui kerjasama ini, ia turut mengiktiraf atlet kalangan pelajar sekolah yang mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan menerusi Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO.

Antara penerima Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO yang mempamerkan aksi terbaik pada temasya di Filipina ini adalah Izzah Amzan (gimrama) yang memenangi Anugerah Puteri pada 2018; atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri yang memenangi Anugerah Tunas Harapan Puteri pada 2008; atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi yang memenangi Anugerah Puteri 2011 serta Welson Sim (renang) yang memenangi Anugerah Putera 2014.

Izzah, 19, cemerlang pada temasya kali ini dengan memenangi dua pingat emas menerusi acara bola dan riben selain satu perak (acara gelung) pada saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Rizal Memorial, Manila.

Tinggalkan komen anda