Aubameyang tidak akan tinggalkan Arsenal – Arteta


shadow

LONDON: Penyerang bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang akan kekal bersama kelab itu di sebalik spekulasi hangat yang mengatakan dia mahu berpindah, kata pengurus Gunners, Mikel Arteta.

Timbul laporan yang menyatakan pemain berusia 30 tahun itu bergelut untuk memberikan komitmen terhadap kontraknya yang berbaki 18 bulan di Emirates selepas kegagalan pasukan itu layak beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara.

Arsenal ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.

Aubameyang yang memakai lilitan kapten ketika Arsenal merakam kemenangan 2-0 ke atas Manchester United, semalam memberitahu penyiar radio Perancis, RMC dia ‘100 peratus di sini’ tanpa menambah sama ada dia akan melanjutkan kontraknya atau tidak.

Arteta begitupun meluahkan keyakinannya ketika sidang media dengan menyatakan bekas penyerang Borussia Dortmund itu sebagai penting dalam rancangannya.

“Saya tidak pernah berfikir kemungkinan (berpindah) itu dengan Auba,” kata Arteta. “Saya mahukannya di sini.”

Arteta yang kehadirannya di Emirates berjaya menonjolkan sedikit peningkatan buat Arsenal turut mengulangi pendiriannya untuk mengekalkan pemain Switzerland, Granit Xhaka di kelab itu sekalipun mendapat bantahan peminat Gunners.

Xhaka yang dilucutkan lilitan kapten oleh pengurus sebelum ini, Unai Emery selepas bertelagah dengan peminat yang mengejeknya dan dikaitkan dengan perpindahan secara pinjaman ke kelab Jerman, Hertha Berlin.

Tetapi bagi menghalangnya, Arteta berkata dia turut memerlukan kerjasama daripada barisan pemainnya supaya Xhaxa mengubah fikirannya.

“Saya mahu rakan sepasukannya untuk menyokongnya dan membantunya mengubah fikirannya kerana kami memerlukannya,” kata Arteta. “Saya percaya jika kami berjaya melakukannya, tindakbalas peminat juga akan positif.”

Arteta begitupun perlu mencari pengganti bagi posisi pertahanan ketika jendela perpindahan Januari selepas  Calum Chambers mengalami kecederaan teruk ketika pasukan itu tewas kepada Chelsea, minggu lalu. – AFP

Tinggalkan komen anda