BAM ‘smash’ keluar tujuh pemain


shadow

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan tujuh pemain daripada skuad kebangsaan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula bagi Projek 24.

Tujuh pemain itu membabitkan tiga perseorangan lelaki, Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Tah selain beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu wanita, Lim Pei Yee-Lim Chiew Sien.

“Penilaian dibuat berdasarkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan selepas Projek 24 diperkenalkan pada September lalu. Semua faktor diambil kira sebelum keputusan ini dilakukan.

“Kami sudah memaklumkan kepada semua pemain yang terbabit mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, pintu tidak tertutup terus buat mereka.

“Sekiranya mereka memilih untuk meneruskan kerjaya mereka (di luar) dan berjaya mempamerkan peningkatan, mereka akan dipertimbangkan untuk kembali bersama skuad kebangsaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, hari ini.

Dengan keputusan itu, skuad kebangsaan kini dibarisi seramai 31 pemain merangkumi enam perseorangan lelaki, lima perseorangan wanita, 11 beregu lelaki, sembilan beregu wanita dan lapan beregu campuran.

Majoriti pemain yang dikekalkan kali ini berusia antara 20 hingga 24 tahun – bertepatan dengan misi Projek 24 yang menetapkan sasaran meraih pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris dan mara ke final Piala Thomas 2024.

Tinggalkan komen anda