Ini masa tepat untuk perubahan – Bartomeu


shadow

ERNESTO Valverde dipecat sebagai jurulatih walaupun Barcelona menduduki takhta La Liga kerana pasukan perlukan momentum baharu, menurut presiden, Josep Maria Bartomeu ketika sesi pengenalan jurulatih baharu, Quique Setien.

Bekas jurulatih Real Betis, Setien mengikat kontrak sehingga Jun 2022 selepas Valverde dipecat semalam di sebalik menjuarai liga dua kali berturut-turut dan Piala Raja Sepanyol 2018.

“Kami membuat perubahan sekarang kerana kami berada di separuh musim dan perlukan beberapa momentum baharu bagi menghadapi saingan akhir musim kerana kami selalu mempunyai objektif besar,” kata Bartomeu.

“Walaupun keputusan kami sangat bagus, kami tahu ada ruang untuk memperbaiki corak permainan dan kami bercakap dengan Valverde mengenai aspek ini dan beberapa hari lalu kami beritahunya pasukan perlu lebih baik.”

Barcelona menjuarai gelaran liga dalam dua musim pertama Valverde, mengatasi pencabar terdekat, Real Madrid dan Atletico Madrid.

Tetapi reputasi pengendali itu dicemari dengan dua kali penyingkiran dalam Liga Juara-Juara kepada AS Roma dan Liverpool.

Prestasi pasukan merudum musim ini dan walaupun Barca di puncak liga berdasarkan perbezaan jaringan, lembaga pengarah hilang kepercayaan ke atas Valverde selepas kekalahan kepada Atletico Madrid dalam aksi Piala Super Sepanyol minggu lalu.

Bartomeu turut menafikan keputusan memecat Valverde dibuat terburu-buru dan tanpa calon pengganti yang jelas.

Barca mengesahkan mereka cuba mendapatkan legenda kelab, Xavi Hernandez manakala media Sepanyol melaporkan mereka turut menghubungi jurulatih Belanda, Ronald Koeman dan bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.

“Saya tegaskan beberapa minggu lepas dan bulan, kami bercakap kepada jurulatih lain mengenai masa depan, itu kewajipan kami,” kata Bartomeu.

“Kerja telah dilakukan jadi ini masa yang tepat untuk perubahan.”

Pengarah Sukan Barca, Eric Abidal berkata, jurulatih baharu, Setien menepati idea kelab yang menekankan bola sepak menyerang.

“Kami sangat gembira memperkenalkan Quique, dia menunjukkan bahawa dia memiliki falsafah bola sepak yang jelas dan fokus kepada aspek kecil mengingatkan kami ketika zaman kami bermain,” kata bekas pertahanan Barca itu yang juga pemenang dua kali Liga Juara-Juara.

“Kami tahu dia mampu mencipta pencapaian hebat di sini.”

  • myMetro

Tinggalkan komen anda