Kulusevski lengkap perpindahan ke Juve


shadow

MILAN: Atalanta menjual pemain berbakat Sweden, Dejan Kulusevski ke Juventus dengan perjanjian lima tahun bernilai 35 juta euro (RM160.26 juta) berserta bonus, kata juara Serie A itu, semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu mengharungi musim memberangsangkan sejak dipinjamkan Atalanta ke Parma pada Jun lalu apabila meledak empat gol dan melakukan tujuh umpanan dalam 17 perlawanan.

“Juve membeli pemain dari Atalanta, tetapi dia akan meneruskan musim ini secara pinjaman ke Parma,” kata Juventus dalam satu kenyataan.  “Dia akan menjadi pemain penting untuk Juve di bahagian tengah dan memiliki prospek yang tinggi.”

Juve kendalian Maurizio Sarri berjaya mendapatkan tandatangannya dan mengalahkan jurulatih Inter Milan, Antonio Conte yang dikatakan turut berminat.

“Saya amat gembira. 2020 tidak boleh bermula dengan lebih baik daripada ini,” kata Kulusevski. “Ia adalah hari yang penting untuk saya, rakan-rakan saya, keluarga saya dan untuk semua orang yang bekerja dengan saya.

“Sarri melakukan kerja yang menakjubkan di Napoli dan Chelsea. Saya belajar corak permainannya dan saya amat menggemarinya. Juve juga salah satu kelab terbesar dunia. Apabila semua pemain memulakan karier dalam bola sepak, mereka mahu bermain untuk Juve.

“Apabila peluang muncul untuk saya menyertai Juve, saya tidak berfikir dua kali.”

Kulusevski yang menyertai Atalanta pada 2016 dari kelab Sweden, Brommapojkarna bersetuju dengan perjanjian yang menyaksikannya memperoleh 2.5 juta euro (RM11.45 juta) semusim, menurut laporan. – AFP

Tinggalkan komen anda