Liverpool hampiri gelaran Liga Perdana


shadow

LIVERPOOL: Peminat Liverpool layak untuk mengimpikan kilauan trofi Liga Perdana Inggeris pertama mereka selepas 30 tahun, akui Jurgen Klopp walaupun pengendali dari Jerman itu tidak mengambil mudah selepas mendahului liga dengan jurang 16 mata.

Gol awal dan akhir permainan menerusi Virgil van Dijk dan Mohamed Salah memberikan kemenangan 2-0 ke atas Manchester United di Anfield dan mata penuh ke-13 berturut-turut dalam saingan liga sejak kedua-dua pasukan itu bertemu di Old Trafford pada Oktober.

Selepas Salah menjaringkan gol hasil hantaran penjaga gol Alisson Becker dalam masa kecederaan, penyokong Liverpool mula menyanyikan “kami akan memenangi liga” buat pertama kali musim ini.

Klopp menafikan harapan itu akan memberi tekanan ke atas anak buahnya, dan dia kembali mengalih tumpuan kepada persediaan untuk perlawanan seterusnya menentang Wolves pada Khamis.

“Mereka boleh mengimpikannya, boleh menyanyi, selagi mereka melakukan tugas mereka ketika kami bermain,” kata Klopp yang mengagumi suasana di Anfield yang membantu melonjak semangat pasukan.

PEMAIN Liverpool, Virgil van Dijk meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. – Foot Reuters

”Saya tidak pasti sama ada kami mampu dikejar atau tidak, saya tidak peduli. 

“Pertama sekali ia adalah Liga Perdana. Kami bertemu Wolves pada Khamis, satu lagi cabaran besar. Saya tidak ada kesempatan untuk memikirkan perkara lain.”

Liverpool bermain kurang satu perlawanan berbanding pesaing terdekat Manchester City, dan jurang antara juara Eropah itu dengan United terserlah menerusi beza 30 mata antara kedua-dua pasukan itu.

United satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata daripada anak buah Klopp musim ini, tetapi ia tampak tidak mampu diulangi apabila tuan rumah mendahului pada minit ke-14 menerusi sepakan sudut yang ditanduk Van Dijk.

“Ia tidak menjadi seperti dirancang,” kata pengendali United Ole Gunnar Solskjaer. “Kami kelihatan kuat pada setengah jam terakhir tetapi tidak mempunyai kualiti dalam hantaran terakhir atau percubaan.”

United kekal di tangga kelima, lima mata di bawah Chelsea yang menghuni tangga keempat. – AFP

PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. – Foto AFP

Tinggalkan komen anda